31 Dis 09: Seniman, rakyat bersatu lancar Perak Darul Kartun peringkat S'ngor
2009-12-31 16:58:13
31 Dis 09: Seniman, rakyat bersatu lancar Perak Darul Kartun peringkat S'ngor
BUAT julung-julung kalinya seniman rakyat bersatu untuk menjayakan pelancaran sesebuah buku. Ito, Hishamudin Rais, Pyan Habib, Meor, Zunar dan Nik menghangatkan suasana di Stadium Kajang sempena pelancaran Perak Darul Kartun peringkat negeri Selangor 30 Disember lepas. Acara itu adalah sebahagian dari program sepuluh hari Karnival Rakyat Jom Halal anjuran PAS Kawasan Hulu Langat.
Cuaca baik membantu kehadiran yang sangat menggalakkan dari orang ramai diambil kira program diadakan di hari bekerja. Mereka telah memenuhi bangku untuk melihat persembahan dari pentas sewal jam 9 malam. Pada masa yang sama kaunter jualan Cartoonkafe juga dipenuhi orang ramai yang mahu mendapatkan 'Perak Darul Kartun', 'Gedung Kartun' dan '1 Funny Malaysia' serta mendapatkan tandatangan langsung dari kartunis-kartunis serta seniman-seniman yang hadir.
Antara yang hadir selain Zunar ialah Jonos (Ketua Pelukis), Art, Naza dan Orang2. Hadir juga adalah kartunis Haili dan penyumbang rencana Puspa Rosman. Turut mendapat sambutan adalah kaunter karikatur oleh Oli. Pentas dikelolakan oleh Editor Perak Darul kartun yang juga seorang kartunis, Ronasina dan dibantu oleh Syafik. Manakala Israk bertindak menjaga kaunter.
Program dimulakan pada jam 9.30 dengan demonstrasi melukis kartun Jonos, Art dan Orang2. Pengacara majlis, Ronasina memulakan acara dengan memberi serba sedikit latar belakang majalah produksi Cartoonkafe. Kemudian Pyan Habib tampil dengan dengan persembahan unik membacakan sajak hasil SMS-SMS yang diterimanya apabila Gedung Kartun diharamkan September lepas. "... nak ketawa pun PM larang," antara petikan sajak Pyan.
Selepas itu tampil Meor yang baru menghasilkan album "Dari Rakyat Untuk Rakyat" berserta Nik. Kedua-dua mereka menyanyi dan bermain gitar secara 'live' dan bertenaga dengan mempersembahkan lagu 'Membenarkan Kebodohan', 'Rakyat Bersatu' dan 'I.S.A'. Selesai persembahan mereka, pengaracara majlis membuat pengumuman kehilangan barang. "Sesiapa yang ada kehilangan enjin jet, sila datang ke kaunter pendaftaran," kata Ronasina disambut gelak ketawa hadirin.
Pengarah Urusan dan Pengasas Cartoonkafe, Zunar kemudiannya mengambil giliran dengan menjelaskan falsafah disebalik penerbitan Gedung Kartun dan Perak Darul Kartun. "...Mereka (KDN) boleh rampas majalah saya, mereka boleh rampas buku saya...tetapi yang mereka tak boleh rampas ialah otak saya," kata Zunar.
Sehubungan itu, kartunis politik itu berkata beliau dan konco-konconya akan terus menghasilkan karya-karya alternatif dan berterima kasih kepada orang ramai atas sokongan mereka dan berharap sokongan itu berterusan. Aktivis popular Hishamudin Rais kemudian menggamatkan suasana dengan membuat 'ramalan' satira apa yang akan berlaku pada tahun 2010.
"Dr Mahathir masih hidup...Gani Petel masih bodoh...suami Najib, Rosmah masih gemuk," itu antara ramalan Hisham.
Majlis kemudian diteruskan dengan upacara melelong dua lukisan yang dihasilkan oleh Jonos, Art dan Orang2 di atas pentas sebelum itu.
Lelongan yang dimulakan dengan seringgit itu mendapat sambutan dengan bidaan bersahutan dari orang ramai dan akhirnya lukisan pertama bertajuk 'Rosmoh Ratu Shopping' dibida dengan harga RM50. Manakala lukisan kedua yang menunjukkan Nazak Copperfeild sedang menghilangkan enjin jet dibida dengan harga RM40.
Penyanyi Ito menutup acara dengan menyampaikan dua buah lagu termasuk lagu popular beliau 'Apo Nak Dikato'. Keseluruhan orang ramai begitu terhibur dengan persembahan sajak, nyanyian, satira, melukis dan acara lelong. Dalam masa sama, kartunis-kartunis Cartoonkafe sibuk melayan orang ramai yang berpusu-pusu mengunjungi. Laporan dari Israk menyatakan stok Gedung Kartun kehabisan sementara Zunar memberitahu pen yang digunakan untuk menyain otograf sampai kehabisan dakwat! Terima kasih kepada warga Kajang dan semua yang hadir kerana memberi sokongan yang sangat menggalakkan.
Pelancaran seterusnya di Perak ialah 8 Jan dan di Pulau Pinang pada 9 Januari.