Perak Darul Kartun selamat dilancar
2009-12-21 14:38:34

Majlis pelancaran Perak Darul Kartun berlangsung dengan sederhana tapi meriah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak di Taman Melawati, Hulu Kelang 13 Disember lepas.
Majlis pelancaran dilangsungkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang Dato' Seri Nizar Jamaluddin. Ia turut dihadiri Ahli Parlimen Gombak yang juga Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali, Adun Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Batu Caves Amiruddin Shari. Turut hadir kira-kira 200 orang peminat dan penyokong.
Dalam ucapannya, Nizar mengucapkan syabas atas penerbitan buku tersebut dan yakin ia akan dapat membuka mata lebih ramai rakyat Malaysia mengenai kejebatan politik BN.
Beliau menambah episod 'rampasan kuasa' oleh BN di Perak terlalu bobrok sehinggakan ia tidak dapat dibayangkan oleh akal sihat seseorang manusia. "Apa yang dilakukan oleh BN di Perak adalah sangat jelek sehinggakan Perak kini jadi bahan ketawa masyarakat dunia.
"Malah jika sasuatu watak kartun dapat hidup, watak itu pun akan ketawa melihat tingkah laku pemimpin BN. Maka wajar sekali Perak kini di gelar Perak Darul Kartun," kata Nizar.
Beliau kemudian melakukan acara simbolik dengan memukul satu efigi berupa seekor katak biru tua yang tertulis tanda "$" di dadanya sebagai tanda perasmian.
Sebelum itu, dalam ucapannya, pengasas Gedung Kartun, Zunar turut memperkenalkan pasukan kartunis reformasinya yang terdiri dari Ronasina (Editor, kartunis) Jonos (Ketua Kartunis), Naza (pereka grafik kanan), Art (kartunis, pelukis cover) serta Lan (kartunis dan colourist).
"Beza kami dengan kartunis arus perdana ialah mereka melukis dengan pena dan berus, manakala kami melukis dengan hati," kata Zunar. Menurut kartunis itu, Cartoonkafe akan terus menghasilkan karya-karya kartun alternatif biar apa pun rintangan yang akan ditempuh.
Turut hadir ialah staf unit pemgedaran Syafik Sunny dan Israq Ismail. Penyumbang-penyumbang seperti Oli dan Pyan Habib turut memeriahkan majlis.
Pada majlis itu, orang ramai berpusu-pusu membeli Perak Darul Kartun dan produk lain Cartoonkafe seperti Gedung Kartun dan 1 Funny Malaysia.
Promosi kemudiannya diteruskan pada sebelah malam di AU5, Keramat dengan sambutan yang cukup hangat dari warga di sana sehingga terpaksa ditambah stok baru akibat kehabisan.
Buku Perak Darul Kartun dijual dengan harga RM10 dan boleh diperolehi di kedai-kedai seluruh Malaysia atau secara online melalui laman web www.cartoonkafe.com. Kami boleh dihubungi melalui talian 03-22744931.
Pelancaran berikutnya ialah di Paroi 16 Disember.